Friday, April 24, 2009

Takrif Aal, Ahlul-bait Dan Zuriat Rasulullah SAW

Ahlul-bait Rasulullah SAW adalah mereka yang paling hampir dengan baginda. Firman Allah SWT: “ Sesungguhnya Allah bermaksud hendak menghilangkan dosa dari kamu, ahlul-bait, dan mensucikan kamu sesuci-sucinya.” (Al Ahzab:33)

Lebih 1,400 tahun semenjak kerasulan Nabi Muhammad SAW, umat Islam di mana-mana pun di dunia ini wajib mengucapkan selawat kepada ‘Sayyidina Muhammad Wa’ala Aali Sayyidina Muhammad’, sekurang-kurangnya dalam solat lima waktu sehari semalam. Dan ganjaran yang amat besar pula dikurniakan kepada umat Islam yang melakukan selawat secara sunat.

Dalam konteks ini, perlulah kita memahami akan siapa sebenarnya yang ditakrifkan sebagai Aal Muhammad SAW seperti yang dimaksudkan dalam selawat tersebut itu. Berlebih lagi melalui hadeeth-hadeeth baginda sendiri, umat Islam telah diperintahkan untuk mencintai, menghormati, memuliakan serta mengikuti teladan baik para Aal Rasulullah SAW yang mukhlisin. Secara garis kasarnya, definisi ‘Aal’ Rasulullah SAW membawa pengertian ahlul-bait, keluarga dan kerabat baginda. Namun, wujud perbezaan pendapat mengenai pengertian ‘Aal’ Muhammad Rasulullah SAW’. Cuma yang menjadi persepakatan ialah tentang beberapa ciri serta kekhususan mereka. Antaranya:

1) Mereka diharamkan menerima sedeqah dan zakat
2) Tidak mewarisi harta Nabi (jika ada)
3) Berhak menerima seperlima bahagian dari harta ghanimah
(iaitu harta rampasan perang)
4) Berhak menerima ucapan selawat


Berdasarkan pada pengamatan akan beberapa pengertian dan tafsir ‘Aal’ Rasulullah SAW mengikut dalil-dalil Quran dan Hadeeth yang menjadi pegangan para alim ulama dan mazhab yang empat, maka dapatlah dibuat pemerhatian dan kesimpulan bahawa ‘Aal’ Rasulullah SAW dapat digolongkan kepada beberapa kategori seperti yang berikut:

Ahlul-bait Rasulullah SAW ( Ahlul-kisa’)

Ahlul-bait Rasulullah SAW merupakan salah satu golongan yang dimaksudkan sebagai ‘Aal Muhammad SAW’. Firman Allah SWT: “ Sesungguhnya Allah bermaksud hendak mensucikan kalian sesuci-sucinya.” (Al-Ahzab:33 ) Sebahagian para ahli tafsir berpegang pada sebuah Hadeeth Sahih riwayat Abu Said Al-Khudri dimana Rasulullah SAW menegaskan:
“Ayat itu turun mengenai lima orang: Aku sendiri, ‘Ali (bin Abu Thalib RA), Fatimah, Al-Hassan dan Al-Hussein.”

Sebuah lagi Hadeeth yang diberi nama Hadeeth Al-Kisa’ diketengahkan oleh Imam At-Tarmizi berasal dari Ummul Mukminin, Ummu Salamah. Beliau menyatakan ; Ayat (Al-Ahzab:33) turun di rumah tinggalku. Ketika itu di rumahku sedang berkumpul ‘Ali, Fatimah, Al-Hassan dan Al-Hussein. Rasulullah SAW kemudiannya menyelimuti mereka dengan sehelai kain kisa (jenis pakaian sangat longgar) sambil berucap : “Mereka itulah ahlul-baitku. Allah telah menghapuskan dosa (kotoran) dari mereka dan telah mensucikan mereka.”

Kedudukan mereka diperkukuhkan dengan kesaksian Abul-Hamara yang diriwayatkan oleh Ibnu Jarir dan ibnu Mardawaih :
“Selama lapan bulan berada di Mekah aku menyaksikan, tiap kali Rasulullah SAW keluar hendak menunaikan solat di masjid, baginda selalu menghampiri ‘Ali bin Abu Thalib di tempat kediamannya. Sambil berpegang pada pintunya baginda berucap: ‘Marilah solat, sungguhlah, Allah hendak menghapuskan kotoran dari kalian, hai ahlul-bait, dan Dia benar-benar hendak mensucikan kalian!’ ”

Kesimpulannya, pengertian ahlul-bait Rasulullah SAW yang membawa erti Sayyidina ‘Ali, Fatimah Az- Zahra, Al-Hassan dan Al-Hussein telah sebulat suara dipersetujui oleh semua ulama salaf dan khalaf serta pakar sejarah Islam. Kedudukan dan martabat Fatimah Az-Zahra, Sayyidina ‘Ali, kedua putera mereka beserta keturunan mereka sebagai ahlul-bait Rasulullah SAW lebih diperkuat dengan turunnya ayat ‘Mubahalah’ 8 kepada baginda yang berhubung kait dengan bantahan kaum Nasrani Najran yang menolak kesaksian Al-Quran mengenai kedudukan Isa a.s putera Maryam.

Peristiwa persetujuan antara perutusan kaum Nasrani Najran dan Rasulullah SAW untuk bersama-sama mengikrarkan permohonan kepada Allah SWT agar menjatuhkan laknatNya kepada pihak yang berdusta, adalah sebagai pilihan yang terakhir bagi mengakhiri perdebatan antara kedua belah pihak mengenai kedudukan Nabi Isa AS putera Maryam itu. Kisah ini diabadikan oleh Allah SWT melalui FirmanNya : “Barangsiapa membantahmu (hai Nabi) tentang dia (Isa putera Maryam), setelah engkau beroleh pengetahuan yang benar (mengenai hal itu), maka katakanlah kepada mereka : Marilah kita panggil (kumpulkan) anak-anak kami dan anak-anak kalian, para wanita kami dan para wanita kalian, diri-diri kami dan diri-diri kalian, kemudian marilah kita sungguh-sungguh memohon kepada Allah, lalu kita jadikan kutukan Allah itu ke atas orang-orang yang berdusta.” (Aali- Imran :61)

Para ahli tafsir dan ahli Hadeeth menjelaskan yang dimaksud dengan ‘anak-anak kami’ ialah Al-Hassan dan Al-Hussein, yang dimaksud dengan ‘para wanita kami’ ialah Fatimah Az-Zahra, dan yang dimaksud dengan ‘diri-diri kami’ ialah Rasulullah SAW dan Sayyidina ‘Ali. Ini berdasarkan hakikat bahawa semasa kejadian tersebut, yang dipanggil oleh Rasulullah SAW menghadiri mubahalah dengan kaum Nasrani Najran, hanyalah Sayyidina ‘Ali, Fatimah Az-Zahra, Al-Hassan dan Al-Hussein.

Takrif zuriat Rasulullah SAW

Zuriat Rasulullah SAW ditakrifkan sebagai keturunan dari ahlul-bait baginda. Lebih tepat lagi, zuriat Rasulullah SAW adalah melalui cucu-cucu baginda Al-Hassan dan Al-Hussein, kerana telah diketahui bahawa kesemua putera Rasulullah SAW telah meninggal dunia semasa masih kecil lagi, dan hanya puteri baginda Sayyidatina Fatimah RA sahaja yang dikurniai keturunan yang hidup sehingga dewasa. Rasulullah SAW pernah menyebut Al-Hassan dan Al-Hussein sebagai ‘putera-putera’ baginda.

Persoalannya, apakah keturunan dari anak perempuan termasuk dalam pengertian zuriat?
Mengenai hal ini ada dua pendapat di kalangan para ulamak.

Imam Ahmad bin Hambal dan Imam Syafi’ee berpendapat bahawa keturunan dari anak perempuan termasuk dalam pengertian zuriat. Mereka mengemukakan hujjah berdasarkan pada Firman Allah SWT yang bermaksud;

“Dan dari keturunannya (Ibrahim), (Kami beri petunjuk kepada) Daud, Sulaiman, Ayyub, Yusuff, Musa dan Harun. Demikianlah Kami beri balas kebajikan kepada orang-orang yang berbuat baik. Dan (dari keturunan Ibrahim juga); Zakariyya, Yahya, ‘Isa dan Ilyas…..” (Al-An’am :84)

Dari ayat ini telah jelaslah bahawa Nabi Isa AS ditakrifkan sebagai mempunyai hubungan salasilah dengan Nabi Ibrahim AS melalui bondanya Maryam. Kerana di atas kekuasaan dan ketentuan Allah SWT, Nabi Isa telah diciptakan tanpa berbapa. Jelaslah dari ayat ini bahawa zuriat juga mencakupi keturunan dari seorang wanita. Di Kelantan, terdapat amalan memberikan prediket ‘Nik’ pada zuriat seorang Syarifah dengan suami orang Ajam (tidak berketurunan Arab). Terengganu dan Pahang pula, meletakkan prediket ‘Wan’ pada kes-kes yang sama. Di Perak, keluarga ahlul-bait mendapat status golongan bangsawan, dan mana-mana Syarifah yang kahwin dengan orang Ajam, boleh meletakkan prediket ‘Megat’ dan ‘Puteri’ pada
anak-anak mereka. Adat Melayu lama ini mungkin berpunca atas pegangan orang-orang Melayu dahulu kala kepada Mazhab Syafiee yang tidak memutuskan nasab Rasulullah SAW pada anak-anak melalui perkahwinan seorang Syarifah dengan suami dari kaum Ajam.

Imam Abu Hanifah pula berpendapat bahawa keturunan dari anak perempuan tidak termasuk dalam pengertian zuriat. Beliau bersandarkan pada kenyataan bahawa keturunan seorang anak adalah melalui nasab bapanya. Kerana itu jika seorang wanita Bani Hasyim berkahwin dengan lelaki yang bukan dari Bani Hasyim, maka anak itu bukan dari Bani Hasyim. Imam Abu Hanifah seterusnya menjelaskan bahawa dalam persoalan keturunan Fatimah RA yang menjadi zuriat Rasulullah, ini sebenarnya merupakan suatu keistimewaan baginda di atas status martabat dan keagungan baginda. Dalam lain perkataan, keturunan Fatimah RA menjadi zuriat baginda Rasulullah SAW hanya disebabkan oleh faktor kemuliaan dan ketinggian darjat baginda yang sama sekali tidak boleh disamakan dengan sesiapapun di dunia ini.

Menanggapi hujjah demikian, Ibnul Qayyim menjelaskan pendapat seperti itu sama sekali tidak boleh diterima pakai, kerana ia merupakan penyamaan antara soal-soal keduniaan dan soal-soal keagamaan,. Bagi mengetahui lebih lanjut akan persoalan ini, dapatlah ditela’ah kitabnya yang berjudul Jala’ul-Afham halaman 177.Banyak Hadeeth Sahih yang mengesahkan tentang keturunan ahlul-bait Rasulullah SAW. Di antaranya ialah dua buah Hadeeth riwayat Imam Ahmad bin Hambal :

“Barangsiapa mencintaiku dan mencintai keduanya itu- yakni Al-Hassan dan Al-Hussein - serta mencintai ibu dan bapa mereka, yakni Fatimah Az-Zahra dan Sayyidina ‘Ali -kemudian ia meninggal dunia sebagai pengikut sunnahku, ia bersamaku di dalam syurga yang sedarjat.”

“ Pada hari kiamat aku akan menjadi syafi’ (penolong) bagi empat golongan. Yang menghormati keturunanku; yang memenuhi keperluan mereka; yang berupaya membantu urusan mereka pada waktu diperlukan dan yang mencintai mereka sepenuh hati.” Dalam sebuah hadeeth Al-Hakim berasal dari Zaid bin Arqam RA, Rasulullah SAW
menegaskan antara lain;
“ …Mereka (ahlul-bait) adalah keturunanku, dicipta dari darah dagingku dan dikurniai pengertian serta pengetahuanku. Celakalah orang dari umatku yang mendustakan keutamaan mereka dan memutuskan hubungan denganku melalui (pemutusan hubungan dengan) mereka. Kepada orang-orang seperti ini, Allah SWT tidak akan menurunkan syafaatku (pertolonganku).”

No comments: